Sunday, December 16, 2007

31 pengikut Hindraf dakwa ditipu

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

31 pengikut Hindraf dakwa ditipu
Oleh NIZAM YATIM
KUALA LUMPUR 15 Dis. – Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah diminta menimbangkan rayuan yang dibuat oleh 31 pengikut Hindu Rights Action Force (Hindraf) supaya dakwaan terhadap mereka di mahkamah digugurkan dengan alasan telah ditipu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau dimaklumkan, dalam rayuan itu, mereka mengesahkan tidak lagi menyokong Hindraf dan tidak akan terbabit dalam mana-mana aktiviti lain yang dianjurkan oleh badan itu pada masa depan.
“Saya telah meminta Peguam Negara supaya mengkaji rayuan ini dan membuat keputusan secepat mungkin kerana mereka ini sebenarnya telah ditipu oleh Hindraf.
“Kita bersimpati dengan mereka kerana menyangka Hindraf memperjuangkan nasib masyarakat India tetapi sebenarnya ia mempunyai agenda lain iaitu untuk membuat kekacauan yang tidak pernah kita alami sebelum ini,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Semalam, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, 31 pengikut Hindraf yang menghadapi beberapa pertuduhan termasuk cubaan membunuh pegawai polis dalam perhimpunan haram di hadapan Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves dekat sini, pada 25 November lalu telah membuat rayuan dakwaan digugurkan dengan alasan mereka dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu.
Mengenai writ habeas corpus yang difailkan oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh bagi menuntut pembebasan seorang pemimpin Hindraf, M. Manoharan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan alasan penahanan itu tidak mengikut undang-undang, Abdullah menegaskan, beliau telah mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.
“Undang-undang membenarkan menteri mengambil tindakan di bawah Seksyen 8(1) ISA, terutama apabila menteri sudah berpuas hati dengan siasatan yang dibuat dan mempunyai bukti yang mewajarkan perintah tahanan dikeluarkan,'' jelasnya yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdullah berkata, mesyuarat MT hari ini telah membuat keputusan untuk menyokong kerajaan dalam menangani segala masalah yang ditimbulkan oleh Hindraf.
“Apa-apa tindakan yang wajar yang diambil oleh kerajaan akan disokong UMNO bagi memastikan negara ini terus aman dan stabil,'' ujarnya.